PETALING JAYA: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi pada suku kedua 2025, bergantung kepada kemajuan ujian dan pelaksanaan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd. Izani Ghani, aerotrain itu beroperasi semula selepas dua tahun sejak Mac 2023 digantung operasi.
“Kami menjangkakan semua ujian untuk aerotrain akan selesai menjelang April.
“Kami yakin ia akan beroperasi pada suku kedua tahun 2025,” katanya dalam satu taklimat mengenai kemajuan projek aerotrain.
Projek bernilai RM456 juta ini telah menghadapi beberapa kelewatan dan tarikh operasi sebelum ini disasarkan pada 31 Januari tahun ini.
Mohd. Izani turut menyatakan bahawa tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini adalah ‘terlalu optimistik’ dan pematuhan kepada keperluan teknikal boleh menyebabkan kelewatan dalam beberapa proses.
Projek penggantian aerotrain yang mengambil masa tiga tahun itu pada asalnya mempunyai dua tarikh akhir Julai 2024 untuk aerotrain pertama beroperasi, diikuti dengan Mac 2025 untuk siap sepenuhnya, dengan kedua-dua perkhidmatan aerotrain yang merangkumi jarak kira-kira 1.5 Kilometer (km) dijangka mula beroperasi.
Pada Ogos 2023, MAHB memutuskan untuk menamatkan kontrak Pestech International Bhd. untuk projek tersebut, dengan alasan ‘tidak memenuhi prestasi’, merosakkan pencapaian penting projek dan berisiko menyebabkan kelewatan dalam menyiapkan projek mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Bagaimanapun, pada Januari 2024, MAHB mencapai perjanjian dengan sebuah konsortium yang melibatkan anak syarikat Alstom, Pestech dan IJM Corporation Bhd. untuk menyambung semula projek tersebut, dengan sasaran siap pada 31 Mac 2025.
Bagi mempercepatkan tempoh masa projek, MAHB menandatangani perjanjian baharu dengan Alstom pada 14 Jun 2024 untuk memastikan projek tersebut disiapkan pada 31 Januari 2025.
Mohd. Izani turut memaklumkan kapasiti aerotrain baharu telah ditingkatkan kepada 270 penumpang setiap perjalanan, berbanding 230 penumpang pada tren terdahulu, dengan setiap tren terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti 90 penumpang bagi setiap gerabak.
Dalam pada itu, MAHB telah memulakan persiapan menyambut delegasi ASEAN dan aktiviti berkaitan sejak Disember lalu.
“Kami telah menaik taraf ruang istirahat di KLIA dan lapangan terbang utama lain untuk memastikan kelancaran pergerakan delegasi. Susunan khas termasuk penggunaan Kompleks Bunga Raya juga telah disiapkan,” katanya.
Projek aerotrain ini dijangka bukan sahaja meningkatkan kemudahan di KLIA tetapi juga menyumbang kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama serantau.
Perkhidmatan aerotrain di KLIA mula dihentikan sepenuhnya pada 2 Mac 2023 atas faktor keselamatan selepas insiden aerotrain terkandas membabitkan 114 penumpang. – UTUSAN