IPOH: Perak FC tiada pilihan melainkan menang apabila melayani kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) malam ini.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah berkata, suka atau tidak pasukan The Bos Gaurus perlu menang ke atas pasukan tercorot liga itu.
“Kami perlu menang malam ini. Kami tidak boleh pandang mudah perlawanan ini biarpun bertemu pasukan terbawah liga.
“Justeru saya berharap pemain mengusahakan kemenangan agar dapat mengukuhkan kedudukan dalam persada liga, ” katanya ketika dihubungi.
Pasukan Yob ketika ini menduduki tangga kelapan liga dengan mengumpul 19 mata hasil lima kali menang dan empat seri.
Jika mengutip mata penuh malam ini, anak buah Yusri berpeluang melonjak ketangga kelima.
“Boleh atau tidak, kami kena menang malam ini. Ini peluang terbaik mengutip mata penuh.
“Jadi saya berharap pemain tidak mempersia-siakan peluang terbaik mengutip mata penuh,” ujarnya.
Mohd. Yusri menuntut aksi terbaik seperti ketika mengikat Penang FC 3-3 di Stadium Bandaraya pada perlawanan minggu lalu.
Yusri berbangga kerana anak buahnya berjaya bangkit selepas ketinggalan 1-3 kepada lawan. – UTUSAN