‘Jadikan Umar Khattab sebagai idola, pelik tetapi tidak ikut akhlaknya’

Politik

PETALING JAYA: Sikap segelintir pemimpin politik diselar kerana kononnya menjadikan seorang Khalifah Islam, Umar Al-Khattab sebagai idola tetapi bersikap bertentangan dengan pemimpin itu khususnya membabitkan penjualan arak.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sikap pemimpin politik mengidolakan Umar tetapi pada masa yang sama menolak prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan beliau semalam ini.

“Jika Umar Al-Khattab masih hidup hari ini, apakah beliau akan tertawa pahit mendengar hujah tersebut? Bagaimana mungkin seseorang mengidolakan Umar tetapi pada masa yang sama menolak prinsip-prinsip Islam yang beliau perjuangkan? 

“Sikap ini tidak lebih daripada idola kosmetik sekadar menempelkan nama Umar untuk menaikkan imej, tetapi tanpa sedikit pun keinginan untuk mencontohi akhlak dan prinsipnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, status quo atau dasar sedia akan dikekalkan berhubung isu penjualan arak di bawah setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya ketetapan sedia itu adalah bagi menjaga keharmonian berbilang kaum, selain mengingatkan mereka yang diharamkan mengambil arak jangan membeli minuman tersebut.

Jelasnya, perniagaan yang turut menjual minuman keras adalah berlesen, bukannya tidak sah di undang-undang selain para penjual juga membayar cukai.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat desakan di beberapa kawasan dalam Ipoh yang majoriti penduduk Melayu dan Islam menuntut supaya tiada penjualan arak di kawasan mereka dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyatakan perkara itu akan dikaji terlebih dahulu.

Gugusan Manjoi yang merupakan kawasan utama penduduk majoriti Melayu Islam di Ipoh telah dilarang penjualan arak sejak tahun 2021.

Menurut Ahmad Fadhli, beliau berasa hairan kerana prinsip Umar tidak diikuti dalam kalangan mereka yang mahu menjadikan beliau sebagai idola. 

“Sebahagian mereka mempertahankan penjualan arak di lokasi umat Islam atas alasan ekonomi, kebebasan individu dan hak asasi manusia. Persoalannya, adakah hak ekonomi lebih utama daripada keharmonian moral masyarakat? 

“Apatah lagi yang dikatakan hak ekonomi itu pada akhirnya menggugat hak masyarakat! Adakah Umar Al-Khattab pernah menggadaikan prinsip Islam hanya untuk menjaga hati segelintir pihak?

“Berhentilah mempermainkan nama Umar hanya untuk populariti. Sebaliknya, jadikan ketegasan beliau sebagai inspirasi sebenar, bermula dengan memerangi arak dan segala bentuk kemudaratan sosial yang berkait dengannya,” katanya. – UTUSAN