Roma mahu tandatangani Casemiro secara pinjaman

Sukan

ROME: AS Roma berminat untuk mendapatkan Casemiro secara pinjaman dari Manchester Untied sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Difahamkan kelab Itali itu mahu membawa masuk bintang Brazil itu sekiranya mereka menjual pemain tengah Argentina, Leandro Paredes.

Bagaimanapun United keberatan untuk melepaskan Casemiro dan dia mungkin akan terus kekal di Old Trafford hingga tamat musim ini.

Pemain 32 tahun itu menerima gaji 375,000 pound (RM2.05 juta) seminggu dan jumlah itu bakal menjadi penghalang dalam sebarang rundingan.

Situasi Casemiro hampir sama dengan rakan sepasukannya, Marcus Rashford yang sebahagian gajinya masih perlu ditanggung United jika dia menyertai mana-mana kelab untuk baki musim ini.

Bekas bintang Real Madrid itu adalah tonggak di bawah Erik Ten Hag tetapi tidak menjadi pilihan Ruben Amorim dan sekadar memanaskan bangku simpanan dalam enam perlawanan terakhir United.

Amorim dijangka terus memberi kepercayaan kepada pemain muda, Toby Collyer dalam barisan tengah United yang dibarisi Bruno Fernandes, Manuel Ugarte, Kobbie Mainoo dan Christian Eriksen.

“Dia (Casemiro) perlu mempunyai ciri-ciri dan kemudian saya akan memilih pemain berdasarkan ciri-ciri yang saya mahukan untuk perlawanan itu.

“Saya perlu membuat pilihan. Saya mahu menampilkan gaya permainan berbeza daripada jurulatih-jurulatih lain dan pilihan saya berdasarkan itu, itu sahaja,” kata Amorim mengenai ketiadaan Casemiro Ketika menang ke atas Fulham beberapa hari lalu.

Sementara itu, United kini dalam fasa akhir untuk menandatangani pertahanan kiri Denmark, Patrick Dorgu.- AGENSI