Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.7% tahun ini

Perniagaan

PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur sebanyak 4.7 peratus tahun ini, ekoran pertumbuhan pelaburan yang sederhana akibat peningkatan dalam ketidaktentuan global yang ketara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah merencana pembaharuan fiskal untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus daripada KDNK.

Katanya, ini termasuk memperluaskan Cukai Perkhidmatan (SST), selain penstrukturan semula subsidi.

“Pada dasarnya persekitaran ekonomi Malaysia untuk 2025 kelihatan optimistik namun dengan unjuran yang berhati-hati terhadap faktor utama pertumbuhan sejajar dengan persekitaran ekonomi dunia yang juga dijangka kekal stabil untuk tahun mendatang.

“Kestabilan ini didokongi pelonggaran dasar kewangan negara, pengukuhan pasaran buruh yang positif serta inflasi yang sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, faktor-faktor yang dijangka akan mendorong pertumbuhan tersebut adalah rangsangan yang akan disumbangkan melalui aktiviti domestik dan pelaburan asing.

Menurutnya, pemangkin domestik didorongkan oleh dasar fiskal yang berkembang, pasaran buruh yang menggalakkan, kadar faedah yang stabil serta projek berimpak tinggi.

“Selain itu ia, turut didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan serta peluang pekerjaan yang merangsang pertumbuhan pendapatan.

“Seterusnya usaha kerajaan menerusi pembaharuan fiskal terutama pengembangan ST dan penstrukturan semula subsidi berpotensi untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan pengukuhan ekonomi,” ujarnya.

Tambahnya, rangsangan luaran pula didorong oleh aliran pelaburan langsung asing (FDI) terutama dalam sektor teknologi dan pembuatan.

“Namun begitu, potensi cabaran dijangka bergolak dengan ketidaktentuan ekonomi global serta ketegangan geopolitik.

“Pada keseluruhannya kepelbagaian sumber dan aktiviti ekonomi Malaysia serta dokongan dasar ekonomi yang proaktif mampu meletakkan negara untuk pertumbuhan yang stabil pada 2025,” jelasnya. – UTUSAN