Azeem fokus kejohanan NCAA

Sukan

PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, kini memberi tumpuan penuh kepada persediaan untuk Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) yang akan diadakan pada 14 Mac depan di Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu memulakan tahun 2025 dengan penuh semangat selepas mencatatkan masa terbaik musim ini, iaitu 6.67 saat (s) dalam acara 60 meter (m) pada Kejohanan Orange and Purple Invitational yang berlangsung di Carolina Selatan, AS pada Jumaat lalu.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, berkata pelari berusia 21 tahun itu mensasarkan untuk menduduki tempat dalam 18 terbaik dalam acara 60m NCAA bagi melayakkan diri ke Grand Final.

“Saya baru berbual dengan jurulatihnya di AS, Ken Harnden. Azeem sememangnya memberi fokus 100 peratus kepada kejohanan dalam dewan NCAA ini.

“Latihan Azeem berjalan lancar dan dia kini berada dalam prestasi terbaiknya. Masa terbaiknya juga hampir dengan rekod kebangsaan,” kata Ballard.

Untuk rekod, penuntut Universiti Auburn, Alabama itu memegang rekod kebangsaan 60m dengan catatan 6.62s yang dicatatkan pada Kejohanan Invitation Clemson Tiger Paw pada 2023.

Selain itu, Ballard turut memaklumkan bahawa Azeem berhasrat untuk bersaing di Kejohanan Olahraga Asia yang dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 31 Mei di Gumi, Korea Selatan.

Bagaimanapun, pihak universiti Azeem masih belum memberi pengesahan sama ada beliau dibenarkan untuk bertanding dalam kejohanan tersebut.

Justeru, Ballard yakin Azeem telah mempunyai sasaran utama untuk tahun ini, iaitu Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan yang dijadualkan pada 21 hingga 23 Mac ini di Nanjing, China.

“Kami tidak pasti sama ada universiti akan melepaskan Azeem untuk Kejohanan Asia, namun beliau 100 peratus akan menumpukan perhatian untuk Kejohanan Dunia. Kami berharap Azeem dapat mencapai kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa,” tambah Ballard.-UTUSAN