Bryan terima tawaran lumayan di luar negara

Sukan

PETALING JAYA: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memulakan musim 2025 dengan kekecewaan apabila Pengarah Teknikal Terjun, Bryan Nickson Lomas mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi pada 22 Februari ini.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low, kelmarin mengesahkan bahawa jurulatih berusia 35 tahun itu telah mengemukakan peletakan jawatan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bryan mendedahkan beliau menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai jurulatih di luar negara.

Bagaimanapun, anak jati Kuching, Sarawak itu enggan mendedahkan negara mana yang beliau akan berhijrah kerana proses tersebut masih belum selesai.

“Ya, memang benar saya meletak jawatan kerana menerima tawaran di luar negara. Tawaran tersebut saya terima pada bulan Disember tahun lalu. Saya mahu mencabar diri dengan pengalaman baharu,” kata Bryan kepada Utusan Malaysia.

“Apa pun, saya tidak boleh mendedahkan negara mana yang akan saya tuju sehingga segala proses selesai. Saya akan maklumkan dalam masa terdekat,” jelas Bryan.

Bryan, bersama Khairul Safwan Mansur, dibawa masuk oleh MAS pada Oktober 2023 sebagai pengarah prestasi tinggi untuk memulihkan prestasi skuad terjun kebangsaan yang bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, Khairul meninggalkan badan induk itu pada Julai tahun lalu untuk menyertai perniagaan keluarganya.

Sementara itu, Andy memaklumkan bahawa MAS telah mengenal pasti calon pengganti yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Bryan.

“Kami memang sudah ada calon pengganti. Ketika ini, kami hanya perlu menunggu proses tandatangan kontrak selesai. Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

“Calon pengganti juga telah berbincang dengan Bryan selama dua minggu. Kesemua proses dan penyerahan tugas telah selesai. Program yang sedia ada akan diteruskan seperti yang dirancang,” tambah Andy.

Malaysia turut kehilangan seorang lagi jurulatih terjun berbakat apabila Wendy Ng juga melepaskan jawatannya sebagai jurulatih pembangunan bakat pasukan terjun Wilayah Persekutuan untuk mengemudi Akuatik Singapura, minggu lalu.-UTUSAN