Polis rakam keterangan Chegubard

Politik

KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin dipanggil polis untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) semalam.

Siasatan dijalankan susulan dakwaan Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengenai kes rogol membabitkan seorang anak menteri.

Chegubard berkata, dia diminta hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields di sini pada 10 pagi bagi siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Saya dipanggil ke IPD Brickfields berhubung isu anak Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri Saifuddin Nasution) dan saya disiasat di bawah Seksyen 233 SKMM.

“Ini berkenaan kenyata­an saya berhubung anaknya yang didakwa menyerang seorang wanita. Itu hal peribadi namun ini berkenaan kedaulatan undang-undang apabila terdapat laporan polis dan siasatan dijalankan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Brickfields.

Chegubard hadir bersama peguamnya, Muhammad Ra­fique Rashid Ali kira-kira 10 pagi dan proses tersebut berakhir pada 11.30 pagi. 

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tular dalam laman sosial kes membabitkan anak menteri yang dilaporkan mengugut wanita.-UTUSAN