Herry tuntut komitmen penuh pemain untuk jadi juara dunia

Sukan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan kerja keras dan komitmen penuh merupakan kunci utama dalam melahirkan juara dunia serta Sukan Olimpik.

Menurut bekas jurulatih Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia itu, semua pemain perlu mempunyai disiplin tinggi, komitmen yang jitu serta semangat perjuangan tanpa mengenal erti penat lelah.

“Untuk mencapai tahap juara dunia dan Olimpik, pemain harus memiliki totalitas (komitmen sepenuhnya). Ia bukan sekadar kerja keras, tetapi juga disiplin, motivasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

“Saya sering tekankan, kepala menjadi kaki, kaki menjadi kepala, itulah totalitas (keseluruhan) sebenar. Ada pemain yang bersemangat dalam beberapa bulan, tetapi kemudian mengalami penurunan motivasi.

“Ini perkara biasa dalam sukan, tetapi tugas jurulatih ialah memastikan mereka kekal berada pada tahap terbaik,” kata Herry kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Herry terkenal sebagai arkitek kejayaan bekas beregu Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan yang memenangi beberapa gelaran dunia dan All England serta Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang turut menjadi pasangan beregu lelaki No. 1 dunia.

Jurulatih berusia 63 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin bagi memulakan tugasnya secara rasmi selaku ketua jurulatih beregu lelaki hari ini, menggantikan Tan Bin Shen yang berhijrah ke Persatuan Badminton Hong Kong.

Dalam pada itu, Herry turut menegaskan bahawa pendekatan terhadap setiap pemain harus berbeza kerana setiap individu mempunyai karakter tersendiri.

“Saya pernah melatih Kevin-Marcus dan Hendra-Ahsan. Setiap seorang mempunyai gaya yang berbeza, jadi pendekatan latihan juga tidak boleh sama. Jurulatih perlu memahami karakter pemain bagi membentuk mereka menjadi juara,” jelas Herry.

Untuk rekod, Herry yang digelar jurulatih ‘Naga Api’ itu berkhidmat di PBSI selama 30 tahun dan beliau ‘dilamar’ oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Disember lalu selepas kontraknya tidak disambung oleh badan induk sukan badminton Indonesia itu.-UTUSAN