Tunggu dan lihat magis ‘air tangan’ Cklamovski

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan dirinya walaupun tidak pernah membimbing mana-mana pasukan negara sebagai ketua jurulatih.

Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim, apabila ditanya mengenai susuk tubuh jurulatih dari Australia itu.

Jelasnya, jika melihat latar belakang beliau, Malaysia menjadi pasukan pertama memberi kepercayaan kepadanya sebagai ketua jurulatih skuad senior walaupun Cklamovski pernah bekerjasama dengan pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou sebagai penolong jurulatih Australia pada 2014 hingga 2017.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan ukuran kepada kemampuan beliau kecuali selepas peluang dan tempoh masa setahun, apa pencapaian atau perubahan yang mampu memperkasakan pasukan kebangsaan.

“Untuk menilai sekarang adalah terlalu awal tanpa melihat cara dan apa yang akan beliau lakukan kepada pasukan kebangsaan. Kalau ikut latar belakang beliau tidak pernah membawa pasukan senior mana-mana negara.

“Kita kena beri beliau masa secukupnya dan bagi saya kelayakan Piala Asia 2027 menjadi cabaran utama untuk menilai kemampuannya. Saya percaya beliau akan mendapat sokongan penuh daripada kelab untuk mengumpul pemain-pemain terbaik yang ada dalam Liga Malaysia dan sebagainya.

“Bagi saya kita tunggu dan lihat, jangan kritik terlalu awal tanpa melihat usaha dan apa yang dibawanya walaupun tidak ada pengalaman sebagai ketua jurulatih. Saya percaya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pengurusan baharu revolusi Harimau Malaya memilih individu yang mereka rasa sesuai dan tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, Cklamovski pernah memenangi Piala Asia pada 2015 sebagai penolong jurulatih Australia dan selepas kontraknya tamat dengan pasukan negara kelahirnya itu, beliau tidak lagi bersama dengan mana-mana pasukan negara.

Namun, beliau meneruskan kariernya sebagai jurulatih dengan menjadi penolong jurulatih Yokohama F Marinos pada 2018 hingga 2020, kemudian baharulah menjadi ketua jurulatih kepada Shimizu S-Pulse, Montedio Yamagata dan FC Tokyo.

Dalam perkembangan sama, suntikan dana mencecah RM30 juta yang diberikan kerajaan demi pembangunan bola sepak negara perlu menghasilkan hasil lumayan memandangkan setiap penyokong mahu melihat kelainan daripada Harimau Malaya.

“Kita tidak boleh tolak ansur selain memastikan kita layak ke Piala Asia 2027. Tetapi, bukan sahaja layak kerana dahulu kita sudah boleh layak, jadi kali ini sekurang-kurangnya kita boleh mara ke peringkat suku akhir.

“Pasukan negara juga perlu layak ke Olimpik dan sebagainya. Jika tidak, sia-sia sahaja dan merugikan duit kerajaan dan rakyat,” jelasnya.-UTUSAN