Beri Cklamovski masa sebelum kritik

Sukan

PETALING JAYA: Tanpa pengalaman sebagai ketua jurulatih mana-mana negara, pemilihan Peter Cklamovski seperti satu ekperimen yang membawa dua kemungkinan berjaya atau gagal kerana memberi tugas kepada individu yang tidak ada pengalaman.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Australia itu berpeluang membuktikan kemampuan dan membalas kepercayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menghadirkan kejayaan dalam masa singkat khususnya di kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Kehadiran pemain warisan dan naturalisasi baharu yang bakal memperkuatkan Harimau Malaya juga merupakan satu kelebihan besar buat Cklamovski untuk membentuk pasukan terbaik mengikut ‘selera’ dan taktikal yang beliau inginkan.

Sejauh mana kemampuan beliau hanya mampu dinilai sebaik sahaja saingan kelayakan Piala Asia 2027 dengan Malaysia akan berdepan Nepal, Vietnam dan Laos, daripada situ baru kita dapat lihat percaturannya berkesan atau ‘kelaut’.

Sekiranya corak permainan lebih membosankan ditampilkan Harimau Malaya berbanding ketika dibawah bimbingan Kim Pan Gon atau Pau Marti Vicente, ini menandakan beliau masih belum mampu atau bersedia menggalas tugas berat itu.

“Kita kena beri beliau masa secukupnya dan bagi saya kelayakan Piala Asia 2027 menjadi cabaran utama untuk menilai kemampuannya. Saya percaya beliau akan mendapat sokongan penuh daripada kelab untuk mengumpul pemain-pemain terbaik yang ada dalam Liga Malaysia dan sebagainya.

” Saya percaya FAM dan pengurusan baharu revolusi Harimau Malaya memilih individu yang mereka rasa sesuai dan tepat untuk mengemudi Harimau Malaya,” kata pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim.-UTUSAN