PADANG RENGAS: Kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut mungkin berlaku pada hujung tahun ini menunjukkan Perikatan Nasional (PN) gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sejak awal kerajaan ditubuhkan, cita-cita utama kepimpinan PN adalah untuk menjatuhkan kerajaan.
“Azmin dan PN ini tiada kerja. Jadi, pada setiap masa apabila bangun sahaja tidur, kerja mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan.
“Mereka ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk menjadi pembangkang yang konstruktif sebab kerjanya adalah untuk sabotaj kerajaan.
“Jadi, kalau PN atau Azmin mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin terus bercita-cita dengan agenda tebuk atap ini, silakan kerana kita tidak ada masa untuk melayan kelompok seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Kembali Ke Sekolah 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini hari ini.
Menurut beliau, provokasi yang dilakukan oleh pimpinan PN itu bukanlah pertama kali berlaku dan ia sengaja diwujudkan bagi menimbulkan keresahan rakyat.
Katanya, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi, menarik lebih pelaburan selain meningkatkan kualiti, integriti dan keupayaan dalam pentabiran.
“Mereka hanya mahu timbulkan keresahan dan keraguan kepada rakyat dan ini bukan hal yang baru, sebelum ini (PRU) pada bulan empatlah, bulan lapan, lepas puasa dan sebagainya.
“Alhamdulillah, lagi kuat mereka bercakap soal mahu pilihan raya dan tukar kerajaan, lagi kukuh kerajaan Madani yang ada pada hari ini,” katanya.
Semalam, Azmin dilaporkan berkata, Bersatu akan menggerakkan jentera untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini.
Menurut Azmin, perkara tersebut telah ditegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden dalam perbincangan bersama pemimpin parti itu, kelmarin.
“Presiden menegaskan bahawa semua jentera Bersatu mesti digerakkan sekarang untuk menghadapi kemungkinan ‘pilihan raya mengejut’ pada hujung tahun ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya. – UTUSAN