Terengganu mahu rampas kedudukan Sabah FC

Sukan

SEREMBAN: Terengganu FC (TFC) lega dapat membawa pulang tiga mata penuh dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, biarpun para pemain keletihan selepas pulang dari saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara di Bangkok, Thailand, Rabu lalu, namun mereka masih mampu memberi aksi terbaik.

Katanya, para pemain kurang mengasak ke kubu NSFC pada separuh masa pertama dan permulaan babak kedua tetapi bertahan dengan baik sepanjang tempoh tersebut untuk mengutip tiga mata penuh.

“Kami berdepan dengan serangan bertubi-tubi NSFC yang menggunakan kelebihan bermain di padang sendiri dengan misi mengutip mata. Para pemain masih dapat memberi tekanan walaupun kita memberi banyak ruang banyak kepada pasukan lawan.

“Pujian patut diberi kepada penjaga gol kami, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin yang menyelamatkan beberapa percubaan pemain tuan rumah,” katanya kepada para pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, gol TFC dijaringkan oleh Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-25 melalui sepakan percuma dari jarak 30 meter ke pintu gol NSFC.

Pada minit ke-79, TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain pertahanan NSFC ketika asakan dalam kotak penalti.

Nelson Wilfredo Bonilla Sanchez yang menggalas tugas mengambil sepakan penalti berjaya meletakkan bola ke dalam jaring untuk memastikan pelawat pulang dengan kemenangan 2-0.

Menurut Badrul Afzan, tumpuan pasukannya selepas ini ialah untuk segera membaiki kelemahan dalam usaha mengutip mata yang boleh mencabar kedudukan pasukan di tangga ketiga liga, Sabah FC.

“Apa jua kelemahan yang kita lihat malam ini akan kita atasi untuk berdepan dengan Kuala Lumpur City FC pada Jumaat ini,” katanya.-UTUSAN