Wakil tunggal PH Perlis belum putus bertanding pemilihan PKR

Politik

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang merupakan satu-satunya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Perlis belum memutuskan untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Kangar dalam pemilihan, Mei ini.

Jika Ay Ling selaku Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis mengambil keputusan bertanding, beliau dijangka sekali lagi berdepan penyandang, Noor Amin Ahmad yang mungkin mempertahankan kedudukannya.

Dalam pemilihan lalu, Noor Amin merangkap Pengerusi MPN PKR Perlis berjaya menewaskan Ay Ling dalam pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh 631 undi.

Pemilihan PKR Cabang Kangar ketika itu juga tegang apabila Ay Ling membangkitkan beberapa isu seperti penawaran wang dan barangan kepada perwakilan, memanipulasi undi secara dalam talian serta jarak pondok panas yang berhampiran dengan pusat mengundi.

Jika berlaku pertembungan kali ini, Noor Amin dilihat mempunyai kelebihan mengekalkan kedudukan, namun Ay Ling juga mampu mencipta kejutan.

Ketika gelombang hijau yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ay Ling berjaya mengekalkan Indera Kayangan yang dimenangi sejak 2018, sekali gus menjadi satu-satunya wakil PKR yang menang.

Ay Ling berkata, ketika ini, beliau masih membuat pertimbangan sama ada ingin bertanding awatan Ketua Cabang PKR Kangar atau sebaliknya.

“Saya belum membuat sebarang keputusan lagi sama ada sekali lagi bertanding atau tidak, tunggu selepas ini bagaimana. Sudah pasti pemilihan parti adalah sesuatu untuk kebaikan parti dan saya akan buat apa sahaja jika ia untuk kebaikan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.