KOTA BHARU: Keropok ikan yang diadun bersama campuran daun kesum, cili dan bawang membuatkan seorang wanita dari Kampung Kuala Besar di sini, tidak menang tangan apabila makanan ringan yang dihasilkannya daripada resepi arwah ibu mentuanya mendapat permintaan tinggi.
Nadia Hassan, 29, berkata, setiap hari dia menghasilkan adunan sehingga 60 kilogram (kg) untuk diproses menjadi keropok.
“Saya mempelajari proses pembuatan keropok ini dengan arwah ibu mentua yang mana rasanya berbeza kerana mengandungi bahan campuran tambahan seperti daun kesum, cili kecil dan bawang.
“Asalnya, keropok yang dikenali sebagai Keropok Laila ini diusahakan penduduk kampung sejak turun temurun iaitu 40 tahun lalu. Disebabkan ramai yang tidak tahu keenakan rasa keropok itu, saya bertekad belajar dengan arwah ibu mentua dan usahakannya secara bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Nadia yang mendapat bimbingan di bawah Program myAgropreneur Perikanan berkata, dia turut mengusahakan keropok sejuk beku yang dijual secara dalam talian.
Katanya, setakat ini pelanggan dari Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang dan Perak membeli produk keluarannya itu secara dalam talian.
“Alhamdulillah, sejak saya berniaga keropok ini ramai yang datang membelinya kerana rasanya yang berlainan apabila dimakan bersama pencicah. Setakat ini purata jualan harian saya sekitar RM1,000,” ujarnya. – UTUSAN