KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) melancarkan Pusat Pelanggan Persendirian Premier OCBC yang menawarkan perkhidmatan khusus kepada individu bernilai bersih tinggi dengan aset di bawah pengurusan sekurang-kurangnya RM3 juta.
Pusat seluas 18,000 kaki persegi yang terletak secara strategik di kawasan perumahan di Bangsar itu tidak dibelenggu kesesakan biarpun berhampiran dengan pusat bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, strategi tiga penjuru yang dinamik bakal merintis jalan bagi mewujudkan pengalaman bukan sekadar perbankan yang ditawarkan oleh pusat itu.
Katanya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen mereka untuk menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong OCBC sepanjang 93 tahun bertapak di negara ini.
“Kemudahan khusus ini menawarkan penyelesaian kewangan terbaik dalam kelasnya menerusi pendekatan ‘Satu Kumpulan’ inovatif bank, mewujudkan persekitaran yang penuh inspirasi dengan reka bentuk berilhamkan alam semula jadi, sambil mencipta pengalaman tersesuai yang pasti disambut baik para pelanggan.
“Sambil bidang pengurusan kekayaan berkembang maju, begitu juga Jangkaan pelanggan, Perkhidmatan Pelanggan Persendirian Premier kami beroperasi berlandaskan rangka kerja satu kumpulan OCBC yang padu dan membolehkan kami menyediakan penyelesaian bersepadu.
“Pusat baharu yang terletak di lot berasingan ini, menyediakan suasana terbaik untuk memastikan pelanggan boleh mendapatkan privasi dengan laluan masuk dan keluar tersendiri untuk ke ruang istirahat peribadi bagi mengadakan perbincangan bermakna dengan Penasihat Pelanggan masing-masing,” katanya selepas majlis pembukaan cawangan utama itu yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di sini, hari ini.
Jelasnya, pusat itu menyediakan pengalaman menjamu selera dalaman, menghidangkan sajian tempatan pilihan khas terus daripada dapur lengkap di premis tersebut semasa bertemu dengan Penasihat Pelanggan.
“Perkhidmatan disokong oleh layanan khas daripada pasukan yang dianggotai terutamanya bekas kakitangan syarikat penerbangan yang mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi.
“Pusat ini juga akan menganjurkan acara eksklusif menerusi jemputan khas, membawakan pengalaman unik seperti majlis cuba rasa tersendiri, pameran seni, dan tontonan hasil karya bersama pakar-pakar terkemuka di samping keistimewaan gaya hidup yang dirangka untuk menambah baik pengalaman pengurusan kekayaan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, sebagai Ahli Parlimen, beliau mengalu-alukan pembukaan premis itu kerana lokasinya yang sangat strategik.
“Sebelum OCBC beroperasi di sini, ramai penduduk bertanya mengenai masa depan bangunan ini.
“Kini, dengan kehadiran bank ini, pelbagai perkhidmatan tambahan dapat dinikmati oleh penduduk. Selain itu, ia juga akan meningkatkan tahap keselamatan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan Bangsar Baru.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak OCBC berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan semua persatuan penduduk, pihak masjid, kuil, gereja, serta sebuah persatuan perayaan Cina di Lucky Garden.
“Harapan saya ialah bank ini akan turut memainkan peranan sebagai sebahagian daripada komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN