KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) diingatkan untuk sentiasa memperbaiki jalan-jalan rosak di Sabah dan bukannya berbuat demikian apabila berlaku kemalangan mengakibatkan kehilangan nyawa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jabatan itu harus bertanggungjawab membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berjadual agar mudah mengesan jalan-jalan rosak.
“Biarpun perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan tetapi jalan-jalan yang rosak tidak kira di mana sekali pun, di bandar-bandar besar atau kawasan pekan, JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau pemeriksaan yang kerap dan rapi secara berjadual.
“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mahu bergerak. Ini adalah zaman di mana segala-galanya berada di hujung jari. Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral (viral) sambil menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.
“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya kementerian atau jabatan yang berkenaan tetapi, kerajaan dan Ketua Menteri,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri bersama penjawat awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
Mengulas berkenaan isu bekalan air, Hajiji berkata, ia adalah masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang melakukan rombakan dan perubahan drastik dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Ujarnya, ada pegawai berpengalaman dipindahkan dan kontraktor sedia ada diganti.
“Ia mengakibatkan bekalan air sekarang mengalami masalah disebabkan pengurusan air yang tidak cekap. Lebih memburukkan keadaan, berlaku kecurian air yang berleluasa sehingga mencecah 60 peratus hilang dicuri orang.
“Jumlah air tidak berhasil (NRW) 60 peratus bukan sedikit, lebih separuh bekalan air bersih kita hilang. Ini tanggungjawab JANS untuk mengenal pasti dimana dan bagaimana punca-punca kehilangan itu berlaku,” katanya. – UTUSAN