Malaysia raih 2 perak, 1 gangsa hari pertama ACC 2025

Sukan

NILAI: Hari pertama Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 bermula dengan cemerlang apabila kem negara berjaya meraih dua pingat perak serta satu gangsa menerusi acara pecut berpasukan di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Lebih manis, pasukan remaja wanita yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha, dan Sawda Hasbullah mencipta kejutan apabila berjaya merangkul pingat perak dengan catatan masa 51.931 saat (s).

Barisan pelumba Korea Selatan, Kim Jia, Park Yebeen, dan Park Hyerin membawa pulang pingat emas dengan catatan masa yang sama, 51.931s.

Terdahulu, pasukan remaja wanita itu turut memadam rekod kebangsaan ketika aksi pusingan pertama dengan catatan masa 51.801s, mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Azwa Nabillah Abdullah, Nyo Chi Hui, dan Yong Ann Tung dengan 52.979s.

Bagi pasukan elit pula, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dan Nur Alyssa Mohd Farid mengulangi pencapaian edisi 2024 di New Delhi, India selepas merangkul pingat perak dengan catatan 49.132s.

Pingat emas menjadi milik pasukan China yang dibarisi oleh Bao Shanju, Guo Yufang, dan Luo Shuyan dengan catatan 46.990s.

Pasukan elit kebangsaan turut memecahkan rekod kebangsaan pada aksi pusingan pertama dengan catatan 48.458s, sekali gus mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Anis, Izzah, dan Nurul Aliana Syafika Azizan dengan catatan 49.025s.

Sementara itu, skuad pecut elit lelaki yang dibarisi oleh Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, dan Mohd Akmal Nazimi Jusena berjaya meraih gangsa dengan catatan 30.969s.

Pingat emas menjadi milik pasukan Jepun, yang diwakili oleh Yoshitaku Nagasako, Kaiya Ota, dan Shinji Nakano, manakala perak diraih oleh China yang diwakili oleh Tang Haoju, Feng Yusheng, dan Liu Qi.

Dalam pada itu, skuad berbasikal trek para negara berjaya merangkul emas menerusi acara tandem campuran yang disertai oleh Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Muhammad Zamri, dan Farina Shawati Mohd Adnan dengan catatan 52.560s.

Pingat perak menjadi milik Thailand, manakala Kazakhstan membawa pulang gangsa. – UTUSAN