PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan untuk melaksanakan undi pos bagi pengundi yang berada di luar Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pada ketika ini terdapat lebih dari 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung.
Selain itu katanya, harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke negeri ‘bawah bayu’ itu semasa musim pilihan raya dijangka melambung tinggi hingga mencecah RM1,700.
“Walaupun kerajaan sudah mengambil beberapa langkah untuk menangani isu tersebut tetapi penyelesaian jangka masih diperlukan agar rakyat Sabah tidak terbeban untuk pulang mengundi.
“Sebelum ini, pelaksanaan undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara telah diperluaskan kepada mereka yang menetap di Singapura dan selatan Thailand dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Langkah ini membuktikan bahawa sistem undi pos boleh diperluaskan demi memastikan akses yang lebih adil kepada semua pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, prinsip sama seperti ketika PRU15 perlu ditetapkan dalam PRN Sabah yang akan datang.
“Saya menyeru SPR untuk melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam PRN Sabah. Langkah ini akan memastikan setiap rakyat Sabah yang layak dapat menunaikan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik.
“Selain undi pos, saya juga mencadangkan agar SPR meneroka kaedah pengundian lain yang lebih mudah diakses oleh rakyat Sabah yang berada di luar negeri, antaranya undi atas talian dan mewujudkan pusat-pusat pegundian strategik di negeri lain,” jelasnya. – UTUSAN