Selangor masih belum selamat

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, mentaliti dan fokus anak buahnya adalah untuk meraih kemenangan pada aksi final kedua Piala Cabaran menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Kinoshi berkata, kelebihan satu gol selepas menang 3-2 pada final pertama minggu lalu tidak meletakkan pasukannya dalam situasi selamat, sekali gus menuntut barisan pemain mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan Gergasi Merah dapat menjulang piala.

Biarpun seri sudah memadai untuk Selangor FC, Kinoshi mahu barisan pemain memberikan komitmen 100 peratus untuk memburu kemenangan kerana baginya, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

“Final pertama pasukan bermain baik. Saya harap untuk final kali ini, kami dapat menghabiskan perlawanan dengan 11 pemain di atas padang.

“Untuk itu, kami memerlukan strategi untuk menghadapi PDRM FC. Namun mentaliti kami adalah untuk mendapatkan kemenangan dan tidak ada apa yang berubah,” kata pengendali kelahiran Jepun itu.

Pada sidang akhbar pra perlawanan itu juga, beliau menegaskan bahawa ketiadaan ketua pasukan Safuwan Baharudin tidak akan menjejaskan kekuatan pasukan.

“Sejujurnya, saya belum putuskan lagi. Tapi saya pilih untuk membawa Nooa (Laine) ke sini dan menjadi kapten.

“Dia akan menggantikan Safuwan. Tapi macam saya beritahu anda dalam aksi final pertama, semua orang boleh mendapat lilitan kapten.

“Semua orang boleh menjadi kapten bila anda berada di atas padang atau di luar padang. Kapten itu merupakan satu posisi dan semua orang memiliki tanggungjawab untuk menggalasnya,” ujarnya.

Dalam aksi final pertama minggu lalu, Safuwan dilayangkan kad merah di awal babak pertama namun ia tidak menghalang Selangor mencatat kemenangan ke atas PDRM FC.-UTUSAN