JDT diambang kejuaraan Liga Super Ke-11

Sukan

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio sudah terbayangkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas melayan kunjungan Perak FC, malam ini.

Kemenangan ke atas The Bos Gaurus akan membolehkan skuad Harimau Selatan memahat sejarah baharu Liga Super selaku pasukan paling lama mempertahankan kejuaraan tersebut.

Bagaimanapun, Bidoglio menuntut pemainnya agar tidak terlalu teruja untuk bergelar juara sebaliknya memberi tumpuan penuh bagi misi memburu tiga mata.

“Siapa pun lawan kami, JDT tetap menghormati lawan dan kami jangka ia akan menjadi perlawanan sukar. Perak dibarisi pemain muda yang bersemangat untuk membuktikan kemampuan mereka, jadi kita tidak boleh pandang rendah azam mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak terlalu memikirkan soal permainan mereka sebaliknya memberi tumpuan merencana strategi ampuh bagi mengutip tiga mata,” katanya.

Tambah pengendali kelahiran Argentina itu, ada kemungkinan beliau akan membuat sedikit rombakan daripada kesebelasan utama yang diturunkan ketika membelasah Pohang Steelers dalam aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), minggu lalu.

Perlawanan yang sepatutnya dijadualkan Jumaat ini terpaksa diawalkan bagi memberi laluan kepada JDT membuat persiapan menentang kelab dari Thailand, Buriram United dalam saingan 16 pasukan terbaik Zon Timur ACLE di Stadium Chang Arena, 4 Mac ini.

Bidoglio memberitahu, majoriti pemain bebas daripada kecederaan dan cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada aksi penting bagi mengesahkan kejuaraan ke-11 itu.

Malah, katanya, kejayaan mengesahkan kedudukan ketiga terbaik dalam peringkat kumpulan saingan terkemuka Asia itu memberi suntikan semangat untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Bukan mudah buat mana-mana pasukan untuk mengejutkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, ini adalah kubu kami dan akan terus kukuh berdiri.” Ujarnya.-UTUSAN