Chang Lih Kang belum putuskan bertanding pemilihan PKR

Politik

GEORGE TOWN : Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang masih belum memutuskan sama ada akan bertanding dalam pemilihan parti itu pada Mei nanti atau sebaliknya.

Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau akan mengumumkan sebarang keputusan mengenai perkara itu pada waktu yang sesuai.

“Saya akan umum apabila sudah ada keputusan, tetapi bukan dalam majlis ini. 

“Ini (majlis) bukan tempat yang sesuai untuk membuat keputusan tentang pemilihan parti. Saya akan umumkan selepas ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan peluncuran inisiatif penganjuran AI Horizon – Shaping the Future with Penang’s Talent yang akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Spice Arena pada 8 dan 9 Ogos depan.

Lih Kang adalah Ahli Parlimen bagi Tanjong Malim sejak 2018. Pada peringkat parti, beliau memegang jawatan selaku Naib Presiden PKR.

Sebelum ini, media melaporkan PKR telah memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Wanita Pusat, dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 akan diadakan pada 24 Mei ini.

Selain itu, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

Pada 1 Februari lepas, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, cadangan untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu adalah berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang telah diadakan sebelum ini.-UTUSAN