KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan lebih banyak syarikat tempatan menyertai Ekspo Import Antarabangsa China ke-8 (CIIE) yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 November ini di Shanghai bagi memperkukuh hubungan dagangan Malaysia-China serta meneroka pasaran baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, CIIE adalah platform perdagangan antarabangsa yang penting kerana China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.
Beliau berkata, penyertaan syarikat Malaysia dalam ekspo ini akan membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran China yang besar dan berdaya saing.
“CIIE bukan sekadar ekspo perdagangan, ia adalah platform strategik yang membantu syarikat Malaysia memperluaskan pasaran serta mengukuhkan kedudukan di peringkat global.
“Edisi tahun lalu menyaksikan nilai dagangan Malaysia mencecah RM2.88 trillion, jumlah tertinggi dalam sejarah perdagangan negara dan melebihi sasaran awal yang ditetapkan, namun sasaran pada tahun ini akan diumumkan kelak,” katanya pada majlis promosi CIIE di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, Ketua Pegawai Eksekutif Bank of China (Malaysia) Berhad, Zhang Min dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng.
Sementara itu,Timbalan Ketua Pengarah Biro Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), Wu Zhengping berkata, CIIE berbeza daripada Canton Fair kerana ia memberi fokus kepada promosi produk dan perkhidmatan dari luar China, termasuk Malaysia.
“Ekspo yang bertemakan ‘New Era, Shaped Future’ dengan ruang pameran perniagaan mencecah 360,000 meter persegi ini dijangka menjana pendapatan sekitar AS$3.875 juta.
“CIIE tahun ini turut memberi tumpuan kepada sektor baharu termasuk perkhidmatan perdagangan dalam bidang pelancongan, pemulihan kesihatan dan pendidikan yang memberikan lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia.
“Kami yakin kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN