Garis panduan baharu penganjuran kejohanan sukan

Sukan

IPOH: Kerajaan negeri bercadang merangka garis panduan yang lebih ketat untuk memperbaiki sistem penganjuran kejohanan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap acara sukan yang dianjurkan mematuhi standard yang tinggi dari segi keselamatan, pengurusan dan fasiliti.

“Salah satu keperluan utama dalam garis panduan baharu ini adalah kewajipan untuk mendapatkan kelulusan daripada Persatuan Sukan Negeri atau Majlis Sukan Negeri sebelum sesuatu kejohanan dijalankan.

“Saya harap dengan garis panduan baharu ini, penganjuran kejohanan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan terjamin kualitinya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media Negeri Perak 2025 anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) Kampus Bercham di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya langkah itu akan memperkukuhkan lagi ekosistem sukan di Perak serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam setiap acara sukan yang diadakan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian penipuan penganjuran pertandingan bola sepak yang tidak wujud di padang Taman D.R Seenivasagam di sini kelmarin.

Menurutnya, kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 22 dan 23 Februari terpaksa dibatalkan kerana ketiadaan pengelola acara.

“Kejadian ini memberi kesan besar kepada pasukan yang telah membuat persiapan rapi serta menanggung kos tinggi, terutamanya pasukan yang datang dari luar Perak.

“Bukan itu sahaja, hadiah yang dijanjikan, termasuk RM1,200 untuk juara turut menjadi daya tarikan utama bagi pasukan untuk menyertai acara tersebut.,” katanya.

Ujarnya, beberapa pasukan yang menyertai pertandingan ini telah membayar yuran pendaftaran sebanyak RM400 kepada dua akaun berbeza, yang kemudiannya terbukti merupakan penipuan.

Beliau berkata, pasukan-pasukan yang ingin menyertai kejohanan akan datang diingatkan supaya lebih berhati-hati dan perlu memeriksa kesahihan dan kredibiliti penganjur.

“Budaya penipuan yang semakin berleluasa ini harus ditangani dengan lebih serius untuk mengelakkan ia memberi kesan buruk terhadap proses pembangunan sukan, terutamanya bagi kategori umur yang menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Terdahulu, polis menerima sebanyak enam laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjuran pertandingan bola sepak tidak wujud di Padang Taman D.R. Seenivasagam, di sini pada 22 Februari lalu.

Menerusi laporan itu, mangsa mendakwa diperdaya seorang lelaki berkaitan Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah U14 & U16, ASM Cup dan Big Pos Cup 2025 yang dijadualkan pada pukul 7 pagi. – UTUSAN