Pas perlu reformasi untuk kekal dalam arena politik

Politik

BEBERAPA tokoh besar dalam Pas dilihat layak menggantikan posisi Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti itu pada muktamar di Kedah tahun ini, selepas lebih dua dekad ‘Ayah Chik’ menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu.

Perubahan teraju itu dilihat penting bagi memastikan Pas terus kekal relevan dalam arena politik Malaysia yang menuntut kerjasama pelbagai parti untuk membentuk kerajaan, bukan la­gi bersifat tunggal sepertimana sebelum ini.

Ketika ramai yang beranggapan posisi Ahli Parlimen Marang itu tampak sukar diganti, Pas tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan. Malah parti itu mempunyai barisan pelapis berkualiti untuk menggalas tanggungjawab tersebut sekiranya seluruh saf kepemimpinan termasuk lebih satu juta ahlinya memberikan dukungan kukuh.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setia­usaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yahaya; Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah antara individu yang dilihat layak menggalas tanggungjawab tersebut.

Mereka ini antara pemimpin yang setia mendukung perjua­ngan sehingga Pas semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu.

Mengambil kira perkara ter­sebut, inilah masa yang dilihat sesuai untuk Pas melakukan reformasi dalam sturktur kepemimpinan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Seorang penganalisis politik, Dr. Marwan Ismail berkata, jika berlaku perubahan pucuk kepemimpinan, ia memberi ni­lai tambah baharu kepada Pas.

Katanya, langkah itu menjadi lebih berjaya sekiranya wujud gabungan pemimpin lama de­ngan golongan profesional muda dalam menggerakan Pas ke arah lebih baik.

Marwan melihat Tuan Ibrahim paling layak untuk menggantikan kedudukan Abdul Ha­di berpandukan kepada pe­ngalaman yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu termasuk semasa menjadi menteri sebelum ini.

Katanya, Tuan Ibrahim mampu mengukuhkan perpaduan antara golongan agamawan dan profesional muda dalam Pas sekali gus membawa angin perubahan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.

Sebagai ahli politik beliau seorang yang terbuka dan matang selain sudah melalui perjalanan panjang dalam Pas sebelum ini.-UTUSAN.