IPOH: Notis pengisytiharan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyerahan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid itu bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR menerima secara rasmi notis kekosongan kerusi tersebut.
“Oleh kerana tempoh mengadakan PRK ialah 60 hari dan kebetulan minggu depan puasa dan selepas itu hari raya, jadi kita akan bincang dengan kepimpinan sebelum SPR mengadakan mesyuarat untuk menentukan hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Secara kebetulan Sidang DUN Perak juga akan diadakan pada 15 hingga 19 April ini. Jadi kita minta SPR untuk ambil maklum sebelum beri keputusan, tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluangkan masa menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin di Desa Seri Ampang, di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan persefahaman yang dibentuk dalam kerajaan Madani, BN akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan.
“Perjanjian dan persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan Madani, mana-mana kerusi yang dikosongkan atau menjadi kosong, parti yang memegang kerusi tersebut akan diberikan semula peluang bertanding.
“Itu persefahaman yang ada pada kita,” ujar beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai gerak kerja parti bagi menghadapi PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menentukannya.
“Terlalu awal untuk kita bercakap tentang PRK kerana Allahyarham pun baru tiga hari meninggalkan kita. Jadi dari segi gerak kerja, saya serahkan kepada Menteri Besar dan jawatankuasa BN negeri serta perhubunggan UMNO negeri,” katanya.
Ishsam, 59, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang, Sabtu ini.
Ishsam yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. – UTUSAN