Izzah pertahankan emas, Shah akur raih perak

Sukan

NILAI: Atlet basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara Keirin pada Kejohanan Basikal Trek Antarabangsa yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Kemenangan Izzah pada hari ini sekaligus mempertahankan emas yang pernah dirangkulnya pada edisi lepas di New Delhi, India.

Izzah  berjaya mengatasi tekanan apabila berdepan dengan pelumba dari  Korea Selatan dan China dalam saingan yang cukup kompetitif.

Pingat perak berjaya dirangkul oleh pelumba dari Korea Selatan,Kim Haeun sementara gangsa disambar oleh pelumba dari China, Guo Yufang.

“Kejayaan ini amat bermakna bagi saya. Saya tidak sangka dapat menewaskan  Mina Sato dari jepun kerana dia masih berada di kemuncak prestasi.

“Namun, saya sudah buktikan bahawa saya juga mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya selepas perlumbaan.

Sementara itu, jaguh basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom,  akur apabila berpuas hati merangkul pingat perak dalam acara keirin lelaki elit selepas dipintas di saat akhir oleh pelumba dari Jepun, Shinji Nakano.

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom dipintas saat akhir oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano-UTUSAN/AMIR KHALID

Pelumba kelahiran Muar itu tetap berpuas hati dengan pencapaian yang dimilikinya meskipun terpaksa menerima dipintas hanya beberapa inci  dalam aksi yang ditentukan menerusi photo finish.

“Ini bukan kali pertama saya ditewaskan dengan beza yang cukup kecil. Memang sedikit kecewa, tetapi saya anggap ini ujian buat saya.

“Mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih besar untuk saya di masa depan. Saya hanya perlu terus bekerja keras,” katanya-UTUSAN