Tenaga biomas sawit bakal disepadukan ke grid nasional

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang untuk mengintegrasikan tenaga boleh baharu (RE) daripada industri sawit ke dalam grid nasional menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran sifar karbon bersih negara dan peralihan daripada loji janakuasa arang batu.

Ujarnya, selain itu, tenaga boleh diperbaharui menawarkan peluang yang signifikan untuk pelaburan langsung asing (FDI), meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelabur yang ingin menyokong peralihan negara kepada sumber tenaga yang lebih bersih.

“Kerajaan mengakui produk sampingan minyak sawit seperti serat mesokarp, tandan buah kosong dan cengkerang biji sawit, merupakan sumber tenaga yang belum dimanfaatkan yang boleh ditukar menjadi tenaga biojisim, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada matlamat tenaga boleh diperbaharui negara.

“Potensi dalam sektor minyak sawit adalah besar, memandangkan Malaysia mempunyai 450 kilang minyak sawit di seluruh negara dengan setiap kilang yang berkapasiti 60 tan sejam mampu menghasilkan antara lima hingga tujuh megawatt (MW) elektrik.

“Jika dimanfaatkan dengan berkesan, jumlah pengeluaran kuasa dari industri ini boleh melebihi 2,000MW, satu sumbangan besar kepada bekalan tenaga negara,” katanya dalam sidang media Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-36 (POC2025) di sini semalam.

Johari berkata, salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh industri adalah kekurangan kesalinghubungan grid, yang menghalang banyak kilang daripada menghantar tenaga lebihan mereka.

“Pada masa ini, beberapa kilang minyak sawit menghasilkan kuasa berlebihan tetapi tidak dapat membekalkannya ke grid negara kerana ketiadaan infrastruktur yang diperlukan.

“Bagi menyelesaikan isu ini, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan TNB dan ST untuk mengenal pasti kilang-kilang minyak sawit yang bersedia untuk integrasi grid dan memudahkan pelaburan yang diperlukan untuk menyambungkannya.

“Langkah ini adalah penting bagi memastikan tenaga boleh diperbaharui dari sektor minyak sawit dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak dibazirkan, membantu Malaysia mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil sambil meningkatkan keselamatan tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, minat sektor swasta dalam pelaburan tenaga dari sisa semakin berkembang, dengan syarikat-syarikat yang sanggup membiayai pembangunan infrastruktur tenaga dalam sektor minyak sawit.

“Sudah ada pelabur yang mendekati kami, menyatakan bahawa mereka tidak semestinya berminat dengan perniagaan minyak sawit itu sendiri, tetapi lebih kepada sektor tenaga yang berkaitan dengan sisa minyak sawit.

“Mereka melihat potensi pelaburan yang kukuh dalam menukar biojisim sawit menjadi elektrik,” tambahnya. – UTUSAN