SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin memilih pendekatan politik yang sihat dengan menerima permohonan maaf oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penyelesaian secara baik itu menunjukkan politik lebih sihat selain had atau sempadan yang harus diingat oleh semua pihak dalam menyampaikan fakta dan kritikan.
“Itu perlu mengelakkan sebarang kekeliruan kepada masyarakat. Hakikatnya, perkara ini berpanjangan yang tidak kesudahan dan sewajarnya memberikan pengajaran kepada semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding pengurusan kes.
Terdahulu, tuntutan saman berjumlah RM10 juta yang difailkan oleh Amirudin terhadap Muhammad Sanusi dilaporkan selesai apabila persetujuan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan ADUN Jeneri itu dicapai menerusi permohonan maaf secara terbuka oleh Sanusi di dalam kamar mahkamah.
Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, menjelaskan permohonan maaf itu adalah selaras dengan permintaan awalnya terhadap Muhammad Sanusi berhubung projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
“Hanya kemaafan yang ku pinta dan akhirnya kemaafan itu dibuat. Saya berasa bersyukur sebab beberapa perkara yang sebutkan itu telah terbukti tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Ini kali kedua selepas seorang lagi, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) memohon maaf kepada SMG beberapa hari lepas,” tambahnya.
Sementara itu Muhammad Sanusi menzahirkan rasa syukur apabila kes berkenaan berjaya diselesaikan secara baik dengan membaca permohonan maaf di dalam mahkamah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor telah bersetuju menyelesaikannya tanpa sebarang bicara. Kalau tidak kena ‘mai’ pulak. Saya sudah dua tahun ulang ‘mai’ mahkamah ini,” ujarnya.
Katanya lagi, ia menjadi pengajaran kepada dirinya dan semua untuk lebih berhati-hati pada masa depan.
“Bukan untuk saya seorang (tetapi) untuk semua orang. Siapa cakap tak betul, kita saman. Saya pun ada saman orang juga,” katanya. – UTUSAN