Untung bersih Sime Darby Property melonjak kepada RM502.2j

Perniagaan

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 23 peratus kepada RM502.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM407.9 juta pada tahun sebelumnya. 

Menurut kenyataannya, prestasi kewangan yang kukuh didorong oleh momentum jualan yang berterusan dan kemajuan pembangunan yang lebih tinggi dalam segmen pembangunan hartanah (PD) serta peningkatan sumbangan hasil daripada segmen pelaburan dan pengurusan aset (IAM) dan leisure

Katanya, jualan mencapai paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.1 bilion, melebihi sasaran tahun kewangan 2024 sebanyak 17 peratus yang membuktikan keupayaan syarikat untuk menawarkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

Bagi tempoh yang sama, syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM4.3 bilion, peningkatan 24 peratus tahun ke tahun dan keuntungan operasi (OP) melonjak 48 peratus kepada RM899.8 juta.

Sime Darby Property telah mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 3.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican berkata, keputusan tahun kewangan 2024 mengukuhkan lagi kekuatan portfolionya yang pelbagai dan kejayaan pelaksanaan strategi SHIFT25. 

“Kami sekali lagi telah melangkaui jangkaan, merebut peluang pasaran secara strategik untuk mencapai satu lagi tahun dengan prestasi tertinggi dalam sejarah. 

“Kejayaan mencatatkan hasil, OP dan keuntungan sebelum cukai (PBT) tertinggi serta melepasi RM4.0 bilion dalam jualan buat pertama kali membuktikan keupayaan kami untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan nilai bagi pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prospek 2025, beliau berkata, Sime Darby Property bersedia untuk meneruskan pertumbuhan, didorong oleh perkembangan ekonomi Malaysia dan momentum berterusan dalam sektor hartanah. 

Dengan sasaran jualan sebanyak RM3.6 bilion dan pelancaran yang dirancang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.0 bilion, syarikat kekal fokus dalam pelaksanaan strategi SHIFT25 dengan menawarkan produk bernilai tinggi di seluruh perbandarannya.

“Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global dan ketegangan perdagangan, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk mengekalkan momentum dan merebut peluang baharu,” ujarnya.-UTUSAN