Peruntukan RM700 juta bangunkan semula bangunan ikonik warisan negara

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan membangunkan semula bangunan ikonik warisan negara dengan kos peruntukan sebanyak RM700 juta. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara bangunan terlibat adalah Pejabat Pos Lama, Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka dan beberapa lokasi lain. 

“Kerajaan telah membuat keputusan di mana enam bangunan ikonik atau mercu tanda tersebut akan diberi nafas baharu serta bakal menarik pengunjung setelah siap kelak. 

“Kita juga mempunyai perancangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN untuk membuka salah satu bangunan ikonik lebih awal seperti Carcosa Seri Negara untuk menarik pelancong,” katanya kepada pemberita sempena Konvensyen Hartanah Tahunan Malaysia (Marec) di sini. 

Kor Ming berkata, salah satu projek utama, Carcosa Seri Negara, dijangka siap tahun ini dan akan menjadi tuan rumah bagi acara besar, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang.

“Pelan pemulihan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk memartabatkan simbol negara Malaysia dan mengembalikan kepentingannya di peringkat global. Ini adalah langkah yang sudah lama ditunggu selepas bertahun-tahun perbincangan tanpa tindakan konkrit,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan Khazanah memastikan bahawa projek ini disokong oleh kekuatan kewangan dan perancangan strategik.

“Dengan menggabungkan pemeliharaan warisan dengan pembangunan bandar moden, inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan antara sejarah dan kemajuan. 

“Langkah ini juga menyokong usaha kerajaan untuk pembaharuan bandar yang mampan, mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap perancangan bandar yang teliti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata KPKT melalui Program Perumahan Rakyat (PRR) menggalakkan mana-mana kerajaan negeri dan pemaju swasta yang mahu menyerahkan tanah bagi pembinaan PRR di kawasan mereka. 

“Sehingga kini, kerajaan telah menerima 32 tapak tanah daripada pelbagai pihak berkuasa negeri untuk pembangunan PRR, dengan memberi penekanan kepada pendekatan ‘4P’, rakyat, awam, rakan kerjasama swasta ,” katanya.

Katanya, pemaju yang memilih untuk menyerahkan tanah untuk program PRR akan berpeluang berunding untuk pengecualian daripada kuota perumahan mampu milik 30 peratus dan mencipta situasi menang-menang untuk sektor awam dan swasta.

“Inisiatif ini direka untuk memberi insentif kepada pemaju untuk menyumbang kepada matlamat perumahan negara sambil mengekalkan kesahihan projek. 

“Dengan membenarkan pengecualian, kerajaan memastikan bahawa tanah yang disumbangkan untuk projek PRR digunakan dengan berkesan untuk perumahan awam, sementara pemaju dapat memberi tumpuan kepada projek bernilai tinggi tanpa kewajipan untuk memperuntukkan sebahagian unit mereka untuk perumahan mampu milik,” katanya. – UTUSAN