Pas masih perlukan Hadi ketuai parti

Politik

KANGAR: Pas masih memerlukan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengetuai parti itu, di sebalik terdapat pandangan mengenai kewajaran menggantikan Pre­siden berikutan faktor kesihatan dan demi peremajaan parti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau mahu gandingan Abdul Hadi bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikekalkan men­jelang mukta­mar di Kedah tahun ini.

Beliau berkata, dalam Pas, faktor kesihatan bukan segala-galanya untuk memimpin, sebaliknya kemampuan mental dan pegangan dasar Islam diberi keutamaan.

“Walaupun orang kata Abdul Hadi keuzuran tapi kena ingat memimpin jemaah Islam ini tidak memerlukan penggunaan tenaga sangat tetapi pegangan dasar Islam itu.

“Melainkan kalau tuan tubuh itu sendiri (Abdul Hadi) kata sudah tidak mampu dan ingin berundur memberi ruang kepada pemimpin lain. Tapi sekarang Abdul Hadi masih dalam keadaan baik untuk terus memimpin Pas. Penilaian kepe­mimpinan bergantung kepada fizikal itu tidak betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, beberapa tokoh besar dalam Pas dilihat layak menggantikan kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden pada muktamar tahun ini, selepas lebih dua dekad beliau menggalas tanggungjawab sebagai pe­mimpin nombor satu.

Perkara itu ekoran beberapa pemerhati politik melihat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan calon sesuai sebagai Presiden atau Timbalan Pre­siden Pas.

Sementara itu, Hashim berkata, meskipun semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan, namun beliau berharap tidak akan berlaku pertandingan khususnya membabitkan dua jawatan tertinggi itu.

“Walaupun sesiapa sahaja boleh bertanding tetapi kena asas juga jika hendak bertan­ding dua jawatan tertinggi itu. Harapan kita, tidak berlaku pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

“Tidak rugi jika kita terus kekalkan dua pemimpin tersebut (Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim) yang berjaya mengemudi Pas dengan cukup baik. Melainkan nanti jika Abdul Hadi sendiri sudah tidak mampu dan berundur bagi memberi laluan. Pada masa ini, seeloknya tidak ada pertandingan,” katanya. – UTUSAN