Henti spekulasi calon BN PRK Ayer Kuning 

Politik

TAPAH : Semua pihak perlu menghentikan spekulasi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, soal calon itu perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan utama iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Spekulasi yang macam-macam elok hentikan. Itu kerja pucuk pimpinan yang menilai mengikut suasana tempatan Ayer Kuning, Tapah. Ia mungkin tidak sama seperti tempat-tempat lain.

“Sudah pasti UMNO (calon). Kita mungkin berhadapan dengan Pas dan kita bersedia untuk melawan, jangan over confident (terlalu yakin) kerana dalam pilihan raya macam-macam boleh terjadi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Khas Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Merdeka di sini semalam. 

Ahmad Maslan yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat berkata, parti itu boleh menggunakan formula kemenangan PRK DUN Nenggiri, Kelantan) dan PRK DUN Mahkota, Johor.

“Formula Nenggiri dan Mahkota yang mana sesuai kita akan aplikasikan di sini (Ayer Kuning). Oleh itu kita berharap kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani yang turut merupakan Pengerusi BN Perak berkata, pihaknya telah mengatur kerja bermula semalam bagi menghadapi PRK Ayer Kuning walaupun tarikhnya belum diumumkan oleh SPR.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Ishsam meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang pada Sabtu lepas.

Untuk rekod, pada PRU15, Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Arwah Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd. Nazri Hashim dari Amanah yang mendapat 6,812 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – UTUSAN