PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak lagi akan meluluskan sebarang permohonan tender kerajaan secara terus, sebaliknya perlu mengikut proses yang betul.
Perdana Menteri berkata, setiap tender perlu diteliti mengikut keperluan semasa negara dan disahkan oleh Kementerian Kewangan.
“Saya tidak akan luluskan (tender terus) kerana bagi saya, ia hilang maksud dan roh Islam ini. Kita tidak boleh biarkan kecurangan itu, saya tak peduli surat dari mana pun, perlu ikut proses.
“Nak beli umpamanya perkakasan digital, kecerdasan buatan (AI) yang baharu, pusat data perlu ikut proses,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata, perkara sama perlu dititik beratkan ketika proses pemperolehan aset pertahanan negara.
Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri tidak boleh menentukan apa yang mahu dibeli, sebaliknya dibincang secara teliti dan kemudiannya diputuskan apakah keutamaan pembelian itu.
“Jangan beli kapal, (kemudiannya) berpuluh-puluh tahun tersadai. Hilang berbilion ringgit, kita diam. Ini kerja yang akan menjahanamkan negara.
“Dengan dana yang terbatas, dibeli dengan cara yang telus dengan harga yang berpatutan. Ini kaedahnya. Bagi orang-orang yang tidak senang dengan hal ini, saya tidak kira peringkat besar mana, tinggi mana pun.
“Saya tidak akan izinkan kerana ini akan mengorbankan dan mengkhianati negara sekali gus merosakkan sistem pertahanan negara kita,” katanya. – UTUSAN