MELAKA: Penyelaras DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Cassel Krishnan menegur pendekatan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Melaka yang dilihat lebih menumpukan kepada kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat.
Beliau mengalu-alukan pembukaan pusat khidmat masyarakat pertama DHPP di Taman Peringgit Jaya di sini, namun mempertikaikan kenyataan Ketua DHPP Melaka, Shawn Loh Sheng Nian bahawa inisiatif itu bakal mengganggu ‘keselesaan’ kedudukan DAP.
“Sebarang usaha yang dapat membantu rakyat sentiasa dialu-alukan, tetapi mengapa perlu fokus kepada membuat DAP tidak selesa? Adakah ini tentang berkhidmat atau hanya permainan politik?
“Kami tetap berkhidmat untuk rakyat di setiap kawasan, termasuk di tempat yang belum kami menangi secara majoriti. Ini kerana tanggungjawab utama seorang pemimpin adalah membela rakyat, bukan bermain retorik politik semata-mata.
“DAP dipilih secara sah dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) lalu, malah parti ini mendapat sokongan kuat daripada rakyat semasa bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) di Melaka,” katanya.
Semalam, Shawn dilaporkan berkata, pihaknya yakin kewujudan pusat khidmat masyarakat itu mampu melemahkan pengaruh DAP di Melaka pada masa akan datang.
Katanya, DHPP memilih Melaka sebagai lokasi pertama dan langkah itu disifatkan bakal mengganggu keselesaan kedudukan DAP di situ.
Tambah Cassel yang telah berkhidmat di DUN Pengkalan Batu sejak 2020 termasuk semasa pandemik Covid-19, beliau memahami cabaran besar dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
Katanya, DHPP Melaka sewajarnya tidak menjadikan politik sebagai agenda utama mereka, sebaliknya lebih banyak turun padang membantu rakyat.
“Sejak dahulu lagi, kami tidak pernah ‘memilih bulu’ dalam berkhidmat untuk rakyat. Apa yang kami pentingkan ialah kebajikan dan kesejahteraan semua golongan masyarakat, terutama di kawasan-kawasan yang memerlukan perhatian lebih.
“Saya ingin memberikan nasihat secara mesra kepada DHPP Melaka, lebih baik fokus kepada usaha membantu rakyat terlebih dahulu daripada sibuk memikirkan tentang ‘keselesaan’ DAP,” jelasnya. – UTUSAN