KUALA LUMPUR: Pembangkang membidas usaha kerajaan berhubung Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang menggambarkan usaha itu sebagai ‘ibu segala reformasi’ kerana berpotensi merosakkan masa depan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gambaran itu tidak boleh dianggap sebagai perubahan menyeluruh, apatah lagi melibatkan aspek mencari kakitangan untuk berkhidmat di Parlimen.
“Kuasa untuk mencari staf (sahaja), eh, itu kamu kata ibu segala reformasi? Apa cerita ini?,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Hamzah merujuk kepada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen untuk bacaan kali pertama sebagai langkah awal kerajaan menggubal akta khusus bagi memulihkan kebebasan pentadbiran institusi itu.
Melalui RUU tersebut kerajaan mahu memastikan pengasingan kuasa secara demokratik dilaksanakan dengan memastikan badan Parlimen berkuasa ke atas hal ehwal sendiri dan bukannya bergantung kepada cabang Eksekutif.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, beliau cukup kagum dengan keyakinan ditunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semasa pembentangan RUU berkenaan pada Isnin lalu.
“Dia (Azalina) kata this is a start of a new era (permulaan sebuah era baru), dikatakan Mother of all reform (ibu segala reformasi).
“Kalau inilah yang dikatakan the start of a new era (permulaan era baharu), lingkup masa depan kita,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa cadangan berkenaan dibantah 70 peratus kakitangan Parlimen yang tidak bersetuju ketika perkara itu pernah dibawa Tan Sri Azhar Harun sewaktu menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Kalau (kerajaan) nak lakukan semata-mata untuk kepentingan kakitangan, bukan macam itu caranya. Kita kena lihat masa depan mereka juga,” katanya. – UTUSAN