PKR Pusat belum bincang keputusan PKR Sarawak bertanding PRN

Politik

PUTRAJAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR setakat ini masih belum membincangkan keputusan PKR Sarawak yang mengumumkan mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13 Sarawak).

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik terakhir yang berlangsung pada 23 Februari lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu termasuk daripada wakil parti yang hadir pada mesyuarat gabungan Pakatan Harapan (PH) Sarawak empat hari lalu.

“Hal ini baru dimaklumkan kepada pimpinan, dan di pihak pimpinan kita akan dapatkan dulu maklumat daripada wakil yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan tidak hadir ke mesyuarat gabungan PH Sarawak itu.

“Beliau berada di mesyuarat Biro Politik pada masa yang sama,  jadi beliau tidak memaklumkan dan hal ini belum dibincangkan secara menyeluruh di peringkat pusat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Isnin lalu, PKR Sarawak secara rasmi mengumumkan akan bertanding pada PRN Sarawak malah, perkara itu telah dimaklumkan kepada rakan mereka dalam PH Sarawak pada mesyuarat gabungan itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, di Kuching, Sarawak, Ahad lalu.

Rakan komponen PH Sarawak, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini sudah mengumumkan hasrat untuk bertanding pada PRN-13 Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak 2021, PKR meletakkan 28 calon namun gagal memenangi mana-mana kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak kini menguasai Dewan Undangan Negeri Sarawak apabila memenangi 80 daripada 82 kerusi.

PRN-13 Sarawak dijangka diadakan tahun depan selepas kali terakhir diadakan pada 18 Dis 2021. – UTUSAN