Kerajaan dijangka tandatangani perjanjian dengan Arm Limited minggu depan 

Politik

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka menandatangani perjanjian dengan syarikat semikonduktor terkemuka yang berpangkalan di United Kingdom, Arm Limited pada minggu hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan pemegang saham terbesar syarikat itu, Masayoshi Son, awal hari ini. 

“Pagi tadi saya sempat bercakap dengan Arm Limited dan pelabur 95 peratus syarikat ini adalah Masayoshi Son.

“Dan beliau minta supaya Arm Limited diterima (dengan) beberapa peraturan dan nampak kita setuju.

“Pada dasarnya mungkin minggu depan dapat diurus dan bereskan. Dan dia juga setuju supaya dapat kita tandatangani minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran logo Program Singgah Madani di Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini. 

Restoran nasi kandar dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan program tersebut kerana mempunyai signifikan dengan elemen perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik. 

Terdahulu ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Anwar berkata, dalam soal reka bentuk dan pembikinan semikonduktor, Arm Limited adalah antara yang cemerlang di dunia.

“Arm memilih untuk berpangkalan di Malaysia, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) kerana menawarkan penurunan harga bagi minuman yang kurang atau tanpa gula. 

“Saya berterima kasih kepada persatuan restoran, bila kurang gula, harga turun. Sekarang ini kadang-kadang ada gula tak ada gula harga teh (atau) kopi sama, ia membezakan, jadi kita kempen kurang gula,” katanya.

Sementara itu, Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, usaha tersebut adalah galakan kepada masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya pemakanan yang lebih sihat.

Jelasnya, tawaran penurunan harga sebanyak 30 sen itu terpakai di semua cawangan restoran yang memaparkan logo berkenaan.

“Program ini sudah lama sebenarnya, lazimnya kalau (air) teh o RM1.50, bila teh o kurang gula ini kita beri RM1.20, kurang 30 sen. Ini salah satu usaha kita untuk kehidupan yang lebih sihat,” ujarnya. – UTUSAN