KRM buka tiga akaun bank, elak ketirisan

Sukan

PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil langkah proaktif apabila membuka tiga akaun bank bagi mengelakkan berlakunya ketirisan terhadap badan induk tersebut.

Presidennya, Amir Amri Mohamad berkata pembukaan ketiga-tiga akaun tersebut adalah bertujuan supaya segala transaksi terutamanya melibatkan penajaan dapat dipantau dan dilakukan dengan lebih telus.

“Kalau kita lihat seperti mana yang saya maklum terdahulu, selepas ini kita cuba untuk memastikan ketirisan tidak berlaku dan kita telah membuka tiga akaun (bank) iaitu untuk pasukan 15 sebelah (15s), tujuh sebelah (7s) dan pentadbiran (KRM),” katanya.

Amir ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandantangani memorandum persetujuan (MoA) antara KRM bersama Kaki Jersi (KJ) di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan KJ, Nik Mohd Iqbal Nik Ibrahim.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang bekas kakitangan KRM dituduh pecah amanah apabila memalsukan cek bernilai RM2 juta milik kesatuan itu, tiga tahun lalu.

Amir berkata kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan akan dibicarakan pada 2 Julai ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Amir memberitahu skuad Bunga Raya 15s negara dijadual menentang Sri Lanka pada 19 April dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025.

Sekiranya menang, skuad ragbi negara akan kekal berada di ARC divisyen Perdana musim ini. – UTUSAN