Matrix Concepts, X Park bangunkan bandar ekstrem di Kluang

Perniagaan

KLUANG: Matrix Concept dan Motormarin Sdn. Bhd., (X Park) bekerjasama untuk membangunkan pusat sukan ekstrem dan aktiviti lasak yang pertama di bandar ini menerusi peruntukan bernilai RM10 juta.

Pusat ekstrem yang bakal dibina di Bandar Sri Impian akan memperkukuhkan lagi daya tarikan di Kluang dan kawasan sekitarnya sebagai destinasi menarik, media dan wajib kunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Pembangunan Hartanah Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, kerjasama itu selaras dengan visi pihaknya untuk mewujudkan persekitaran yang holistik dan dinamik di kawasan perumahan Bandar Sri Impian yang secara tidak langsung turut meningkatkan daya tarikan dan menawarkan pengalaman rekreasi baharu kepada peduduk sekitarnya.

“Dengan lokasinya yang strategik dan infrastruktur yang semakin berkembang, Kluang kini sebagai hab yang pesat untuk tujuan perniagaan, gaya hidup dan pelancongan.

“Kehadiran X Park ke Bandar Sri Impian diyakini bakal mempertingkatkan daya tarikan kepada pengunjung yang secara tidak langsung memacu ekonomi di kawasan sekitar Bandar Sri Impian,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) untuk pembinaan pusat sukan ekstrem di sini semalam.

Menurut Keng Wai, selain pusat sukan ekstrem dan aktiviti lasak, Matrix Concepts juga komited dengan perkembangan pembangunan perumahan di Bandar Sri Impian dengan pembinaan kediaman dan komersial yang dijadualkan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Projek-projek kami akan datang menawarkan pelbagai pilihan yang memenuhi keperluan pembeli tempatan atau hartanah kediaman, antaranya rumah teres satu tingkat, dua tingkat, Semi -D dan banglo serta lot komersial,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar X Park, Phillip Phua berkata, dengan kerjasama itu pihaknya akan menawarkan keseronokan sukan ekstrem apabila berada di Bandar Sri Impian.

Ujarnya, projek itu bakal menyediakan ruang dinamik bagi keluarga dan peminat sukan ekstrem untuk mencipta kenangan yang mengujakan.

“Antara aktiviti lasak yang akan ditawarkan adalah Litar Go-Kart, lapangan sasar golf, gelanggang badminton, pickleball, mendaki dinding dan memanah selain kedai pro serta kafe untuk melepaskan dahaga atau kepenatan,” katanya. – UTUSAN