KUALA LUMPUR: Minggu ketiga perbahasan Dewan Rakyat memfokuskan kepada isu-isu penting berkaitan rakyat dan diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli Parlimen.
Meskipun ada yang menentang, namun setiap wakil rakyat berhak menyuarakan pendapat masing-masing ketika membahaskan sesuatu usul.
Antara usul yang mendapat tentangan daripada pembangkang adalah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), termasuk 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kerana mendakwa ia sebagai agenda untuk mengetepikan orang Melayu di bandar.
Bagaimanapun, isu itu dijelaskan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri dengan memberi contoh keadaan daif yang berlaku di Flat Sri Perlis, sekali gus memerlukan pembaharuan demi keselesaan penduduk.
Dengan menegaskan ia antara perkara menjadi keutamaan kerajaan, Anwar menyatakan tidak akan membiarkan kedaifan terus berlaku dalam pembangunan dan kemajuan dikecapi.
Turut menjadi perhatian adalah RUU Perkhidmatan Parlimen yang didakwa berpotensi merosakkan masa depan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata demikian dengan merujuk kepada pembentangan bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Jelas Azalina, ia sebagai langkah awal menggubal suatu akta khusus bagi memulihkan kebebasan pentadbiran institusi itu.
Selain itu, isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang turut dibangkitkan minggu ini yang mana Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan ada berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Takiyuddin secara spesifik berkata, beliau bertanya mengenai prosedur untuk mendapatkan peruntukan berkenaan selepas tiga tahun Kerajaan Madani memerintah.
Dalam masa sama, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) turut menjadi perhatian apabila ‘diusik’ Perdana Menteri yang mempersoalkan kehadirannya ke Dewan Rakyat tidak memakai baju Melayu.
Ia berikutan Syed Saddiq kini menjadi model baju raya sebuah jenama bagi mendapatkan dana untuk kawasan Parlimennya.
Perhatian tertumpu sekali lagi kepada Syed Saddiq apabila selebriti, Bella Astilah serta anaknya turut hadir ke Parlimen. – UTUSAN