Beraksi 10 pemain punca Sri Pahang tewas

Sukan

KUANTAN: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui beraksi dengan 10 pemain menjadi punca mereka di belasah 1-5 oleh Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, kelmarin.

Jurulatih kelahiran Singapura itu juga mengakui, barisan pemainnya juga beraksi bawah kekuatan sebenar, sekaligus menyumbang kepada kekalahan besar kepada jiran setempat itu.

“Beraksi dengan 10 pemain agak sukar kerana kita kekurangan orang untuk cepat menyerang tetapi separuh masa kedua, kita tetap
melawan dan memiliki beberapa peluang lebih baik untuk menjaringkan gol,” katanya.

Dalam aksi itu, Aleksandar Cvetkovic diperintah keluar padang pada minit ke-28 selepas menerima kad merah ekoran mengasari Akhyar Rasid sehingga memaksa Sri Pahang beraksi dengan 10 pemain hingga tamat perlawanan.

Akhyar membuka jaringan buat Terengganu FC mendahului skuad tok gajah sebelum Safawi Rashid menambah gol dua pelawat, manakala Safwan Mazlan, Ismahil Akinade dan Manuel Ott menambah derita tuan rumah.

“Kita belajar dari kekalahan ini dengan memberi peluang kepada pemain untuk mencari gandingan terbaik pada perlawanan akhir Piala Malaysia nanti,” tambah Fandi.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya biarpun tidak menjangkakan menang dengan jumlah jaringan yang besar.

“Pemain menunjukkan sikap mahu menang walaupun mereka tahu Sri Pahang sebuah pasukan berpengalaman dengan pemain import berkualiti,” katanya.

Badrul yakin kemenangan itu akan membantu Terengganu FC untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super.-UTUSAN