PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi cemerlang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didorong oleh kepesatan pasaran modal Malaysia yang terus berkembang di sebalik cabaran ekonomi global.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan yang menyokong perkembangan ekonomi dan pelaburan serta didorong oleh pembaharuan fiskal di bawah kerangka ekonomi Madani sekali gus memberi manfaat kepada rakyat melalui kemajuan yang seimbang dan lestari.
“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,” katanya.
Anwar berkata, dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, negara akan mara dengan penuh iltizam dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat terhadap ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.