PETALING JAYA: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan luar biasa apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan, sekali gus meraih gangsa di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025, hari ini.
Pelari berusia 20 tahun itu mencatatkan 6.56 saat (s) dalam aksi final di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS) memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 6.60s yang dilakukan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw, California bulan lalu.
Azeem meraih gangsa selepas hanya dipisahkan 0.01s dengan Israel Okon dari Nigeria yang menamatkan saingan di tempat kedua, manakala emas dimenangi Jordan Antony dari University of Arkansas dengan 6.54s.
Lebih menarik, pencapaian ini juga meletakkan Azeem dalam kedudukan yang berpotensi untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia yang bakal berlangsung pada 14 hingga 15 Mac ini. – UTUSAN