PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin politik di negara ini dinasihatkan untuk tidak mencemarkan bulan Ramadan dengan politik kotor seperti melontarkan fitnah dan makian demi kepentingan parti atau peribadi.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, pemimpin politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu mempunyai jiwa yang besar.
Beliau menasihatkan mereka untuk memberi fokus sepenuhnya dalam pelaksanaan ibadah di bulan puasa dan berhenti bermain dengan politik kotor.
“Eloklah kita tumpu kepada pelaksanan ibadah sahaja selama 30 hari ini, tonjolkan kesungguhan kita semasa bulan Ramadan.
“Sama ada kerajaan atau pembangkang, turun bersama-sama menyantuni rakyat di bulan yang mulia ini terutama yang tidak mempunyai kemampuan untuk berbuka puasa atau golongan B40 tanpa melihat warna politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Lebih 30 juta umat Islam di Malaysia memulakan ibadah puasa mereka bermula semalam.
Mohd. Roslan yang juga Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) berkata, tanggungjawab pemimpin adalah memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan selesa.
“Kita kena pastikan kegembiraan dan kesejahteraan yang dinikmati itu turut dirasakan oleh semua rakyat. Jika ada peruntukan dari kerajaan pusat, eloklah disalurkan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
“Kadang kala peruntukan sudah diberikan tetapi orang di bawah pula melihat warna politik sebelum memberikan bantuan. Jadi sikap seperti ini perlu dihentikan, berkhidmatlah untuk semua bukan hanya penyokong sahaja,” katanya.-UTUSAN.