TAPAH: Calon tempatan sewajarnya diangkat mewakili parti Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Naib Ketua UMNO Bahagian Tapah, Safri Mohamad Salih berpendapat, calon tempatan sememangnya relevan untuk PRK itu kerana lebih arif mengenai keperluan masyarakat di kawasan tersebut.
Katanya, ia sememangnya menjadi hasrat masyarakat tempatan supaya anak tempatan menjadi calon pada PRK itu nanti untuk kesejahteraan mereka.
“Namun, kami pimpinan UMNO Bahagian Tapah memberikan mandat sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon yang bersesuaian.
“Kami menerima sahaja (calon) yang ditetapkan pucuk pimpinan termasuk ahli parti yang difikirkan layak untuk menggalas tanggungjawab mewakili parti dalam PRK ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, isu utama yang perlu diberikan perhatian ialah kemenangan BN dalam PRK itu nanti.
“Mudah-mudahan calon dipilih mampu mengekalkan kemenangan BN dalam PRK itu nanti untuk terus kami menabur bakti kepada rakyat Ayer Kuning dengan sebaiknya,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.
Untuk rekod, pada PRU15, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.-UTUSAN.