Pemuda Pas kekal mahu buat himpunan bantah URA

Politik

PETALING JAYA: Pemuda Pas kekal dengan keputusan mengadakan himpunan untuk membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi penjelasan mengenai rang undang-undang (RUU) tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri berkata, ketetapan nilai ambang baharu yang diturunkan akan menimbulkan ruang untuk penafian hak kepada golongan minoriti.

Menurut beliau, sesi penerangan dari kerajaan dibuat secara terburu-buru hingga menyebabkan berlaku kekeliruan dan percanggahan antara dokumen.

Katanya, mekanisme berkait undang-undang tersebut perlu dikaji dengan lebih mendalam dan kemas bagin memastikan hak pemilik tidak dikompromi.

“Pemuda Pas menegaskan bahawa himpunan bantah RUU PSB akan diteruskan dengan skala yang lebih besar berdasarkan hak yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sekiranya kerajaan gagal mendengar suara rakyat di bawah,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengingatkan pembangkang untuk tidak menggunakan kebebasan dan kelonggaran untuk berhimpun yang diberikan oleh kerajaan sebagai platform untuk menyebarkan kepalsuan, terutama berkaitan RUU URA.

Beliau memberi amaran keras kepada segelintir pihak agar tidak menggunakan ruang kebebasan itu bagi menipu dan memfitnah usaha kerajaan.

Mohd. Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi mendakwa seruan pihaknya untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah URA adalah sangat penting dan sigifikan. – UTUSAN