TAPAH: MCA sedia memberi komitmen bekerjasama dengan DAP bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kerjasama gabungan parti komponen PH dan BN itu telah diterjemahkan pada beberapa PRK sebelum ini.
Katanya, parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan sudah cukup matang untuk bekerjasama bagi memenangkan calon pada PRK DUN Ayer Kuning.
“Kita kena kerja keras untuk menunjukkan kekuatan BN dan kalau dapat sokongan parti komponen dalam PH, itu satu bonus.
“Kita tidak boleh ambil mudah, sambil lewa bagi memastikan kemenangan BN di DUN Ayer Kuning,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.
Berdasarkan rekod, pengundi Cina merupakan kelompok kedua terbesar yang mengundi di DUN Ayer Kuning selepas kaum Melayu.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac ini. – UTUSAN