Proton e.MAS 7 kuasai 25 peratus pasaran EV negara

Perniagaan

PETALING JAYA: Proton e.MAS 7 telah menguasai 25 peratus bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen EV yang semakin berkembang di Malaysia.

Hal ini turut membuktikan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia bersedia menerima EV apabila ditawarkan pengalaman pemilikan yang mudah diakses dan disokong dengan baik.

Model EV pertama keluaran Proton itu mendapat sambutan luar biasa sejak pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan lebih 4,500 tempahan diterima setakat ini.

PRO-NET, anak syarikat Proton setakat ini telah menghantar unit ke-1,000 e.MAS 7, dan yakin jumlah tempahan bakal mencecah 6,000 dalam tempoh terdekat, didorong oleh lanjutan pakej kuasa pelancaran khas yang menawarkan harga eksklusif kepada pembeli awal.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kejayaan e.MAS 7 bukan sekadar berkaitan dengan jualan, tetapi juga mencerminkan usaha syarikat dalam membangunkan ekosistem EV yang komprehensif di Malaysia.

“Kami bukan hanya mahu menjual kereta, tetapi memastikan peralihan ke mobiliti elektrik berjalan lancar dan penuh keyakinan.

“Sambutan terhadap e.MAS 7 membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin bersedia untuk menerima EV, asalkan ia ditawarkan pada harga berpatutan dan disokong dengan infrastruktur yang lengkap,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan kajian pengguna, sebanyak 58 peratus pembeli menyatakan e.MAS 7 menawarkan nilai yang berbaloi, manakala 51 peratus menghargai ruang kabin yang luas serta kesesuaian untuk kegunaan harian.

Selain itu, sejumlah 38 peratus tertarik dengan ciri keselamatan canggih termasuk sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2, sementara 39 peratus menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung yang menyediakan akses kepada lebih 2,000 stesen pengecasan di seluruh negara menjadi faktor utama dalam pemilihan kenderaan.

Ekosistem ini membolehkan pelanggan merasai teknologi mobiliti elektrik dengan lebih mudah dan penuh keyakinan.

Lebih ramai rakyat Malaysia kini mengiktiraf akan kepentingan peralihan ke kenderaan elektrik, bukan sahaja untuk kelestarian, tetapi juga untuk praktikaliti dalam kehidupan seharian mereka.

e.MAS 7 terbukti menjadi pilihan yang sesuai untuk gaya hidup rakyat Malaysia, menawarkan nilai yang berbaloi, ruang yang luas, dan ciri bantuan pemandu yang canggih.

Dengan kesedaran yang semakin meningkat dan infrastruktur yang semakin berkembang, peralihan ke mobiliti elektrik terus mendapat rentak, mengukuhkan masa depan pemanduan yang lestari dan canggih. – UTUSAN