Betamek pacu inovasi automotif dengan pembukaan pusat R&D baharu

Perniagaan

RAWANG: Betamek Berhad (Betamek), sebuah Pengeluar Reka Bentuk Asal (ODM) dan peneraju dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk industri automotif, bakal memacu inovasi automotif dengan melancarkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharunya di sini.

Pengerusi Betamek, Ahmad Subri Abdullah berkata, pelancaran itu bukan sekadar merasmikan sebuah bangunan baharu, tetapi merupakan visi Betamek dalam memacu kecemerlangan teknologi dalam sektor automotif Malaysia.

“Ketika industri automotif terus beralih ke arah mobiliti yang lebih pintar dan bersambung, Pusat R&D Betamek akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), penyelesaian keterhubungan kenderaan, serta teknologi kokpit pintar.

“Fasiliti ini dijangka dapat memperkasakan keupayaan Malaysia dalam membangunkan inovasi automotif tempatan, sekaligus memastikan pemain industri tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran global yang pesat berubah,” katanya semasa perasmian Pusat R&D Betamek di sini, semalam.

Jelasnya, pengembangan R&D Betamek sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi penyelidikan, pembangunan dan inovasi automotif.

“Dengan memanfaatkan kemajuan terkini dalam elektronik automotif, fasiliti baharu ini akan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan industri, serta menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama, termasuk pengeluar automotif, rakan teknologi dan institusi akademik.

“Dengan inisiatif baharu itu, Betamek terus menegaskan peranannya sebagai peneraju industri teknologi automotif, memacu inovasi dan menetapkan penanda aras baharu bagi masa depan mobiliti di Malaysia dan peringkat global,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Betamek menunjukkan komitmen terhadap inovasi dan keberanian mengambil langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan industri negara.

Beliau yang merasmikan pusat itu berkata, fasiliti itu bukan sahaja menandakan fasa baharu bagi syarikat, tetapi juga satu langkah besar dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.

“MITI dan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus mempromosikan dasar reformasi industri kita bagi menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih kondusif dan menarik.

“Namun, untuk benar-benar merealisasikan potensi ini, kita perlu sedar asas industri yang kukuh tidak dapat dibina dalam sekelip mata.

“Oleh itu, MITI melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut memberi keutamaan kepada pertumbuhan berasaskan teknologi dan pengetahuan dengan menarik pelaburan yang tepat, menggalakkan lebih banyak R&D di Malaysia, dan memperkukuh kerjasama dengan rakan global,” katanya. – UTUSAN